SEJARAH SEKOLAH

Sekolah Kebangsaan Langgar

Sekolah ini berasal dari sebuah sekolah rakyat yang terletak di Simpang Jalan Makam Di-Raja Langgar iaitu merupakan tempat perkuburan kaum kerabat diraja Negeri Kedah. Pada bulan Syawal 13.11.1327 Hijrah bersamaan 1908 masihi Sekolah Kebangsaan Langgar pun bermula.

Pada ketika itu guru-guru yang menjadi tenaga pengajar di situ tidak diberi gaji. Walaubagaimanapun, kutipan telah dibuat daripada setiap murid iaitu sebanyak 3 sen dan beras secupak bagi setiap bulan. Murid pertama yang mendaftar di sekolah ini ialah seramai 6 orang.

Sekolah ini merupakan salah sebuah sekolah yang tertua di Negeri Kedah. Ekoran daripada tertubuhnya Sekolah Kebangsaan Langgar, sekolah-sekolah lain pun turut dibangunkan berhampiran dengannya iaitu seperti Sekolah Kebangsaan Kampung Gelam, Sekolah Kebangsaan Teluk Jamat dan juga Sekolah Kebangsaan Hj. Abu Bakar.

Dalam tahun Hijrah 1330 bersamaan 1911 tahun masihi sekolah ini mula mendapat bantuan daripada Kerajaan Negeri Kedah hasil usaha pengasas sekolah ini sendiri yang pergi menghadap Sultan Abdul Hamid iaitu Sultan Negeri Kedah pada masa itu.

Pada Syawal 1327 Hijrah bersamaan 1908 Masihi, sekolah ini telah dibuka. Semasa pembukaan sekolah ini, satu perjumpaan telah diadakan dengan penduduk tempatan iaitu lebih kurang seramai 20 orang.

Pada hari tersebut murid-murid mula didaftarkan. Hasilnya seramai 6 orang telah mendaftar. Sebulan kemudian, jumlah murid-murid semakin bertambah menjadi kepada 25 orang. Selepas 6 bulan bilangan murid menjadi 46 orang.